Saturday, March 5, 2011

Latar Belakang Etnik Brunei


Etnik Brunei adalah salah satu kaum minoriti di Sabah. Suku kaum ini banyak terdapat di Wilayah Persekutuan Labuan, Membakut, Beaufort, Negara Brunei Darussalam dan terdapat juga di Lawas dan Limbang Sarawak. Asal usul etnik ini di Sabah sangat berkait rapat dengan sejarah Kesultanan Brunei. Suatu masa dahulu, sebelum kedatangan penjajah British di Sabah, Sabah merupakan salah satu jajahan takluk Kesultanan Brunei. Oleh sebab itulah terdapatnya etnik Brunei di Sabah. Sabah mula terpisah Kesultanan Brunei pada 11 Ogos 1865 apabila konsul Amerika, Charles I. Moses menubuhkan ‘American Trading Company’ di Ellena (Kimanis), Sabah. Ini diikuti lagi dengan penjajahan British, Jepun, British Colony dan akhirnya sehinggalah penyertaan Sabah dalam membentuk Malaysia pada tahun 1963.
Masyarakat Brunei merupakan antara kaum minoriti di Sabah. Hal ini kerana etnik ini hanya tertumpu di beberapa bahagian kecil di Sabah dan jumlahnya juga tidaklah ramai. Walaubagaimanapun, dalam kalangan kaum minoriti di Sabah, etnik Brunei merupakan kelompok teramai. Mengikut bancian pada tahun 1991, terdapat kira- kira 123,810 orang Brunei di Sabah. Jumlah ini merupakan 6.64% daripada jumlah keseluruhan penduduk di Sabah.
Seperti mana etnik Bisaya, etnik Brunei juga mempunyai sejarah yang tersendiri mengenai asal usul nama ‘Brunei’. Berdasarkan catatan tradisi lisan yang diperoleh daripada Syair Awang Semaun, perkataan ‘Brunei’ berasal daripada perkataan ‘baru nah’. Mengikut ceritanya, rombongan klan atau Sakai yang dipimpin Pateh Berbai pergi ke Sungai Brunei untuk mencari tempat mendirikan negeri baru. Setelah mendapati kawasan itu berkedudukan strategik (diapit oleh bukit, air, mudah untuk dikenali, memudahkan pengangkutan, dan kaya ikan), maka mereka pun mengucapkan perkataan ‘baru nah’ yang bererti tempat itu sangat baik dan berkenan di hati mereka. Perkataan ‘baru nah’ itu lama kelamaannya berubah menjadi Brunei.
Masyarakat Brunei masa kini juga amat sinonim dengan agama Islam. Akan tetapi, sebelum mereka menerima agama Islam, mereka dipercayai menganut agama Hindi-Buddha. Hal ini dibuktikan dengan penemuan replika stupa di Pusat Sejarah Brunei. Selepas kedatangan agama Islam di Borneo, masyarakat Brunei mula menerimanya sebagai agama baru mereka.

No comments:

Post a Comment