Friday, March 18, 2011

Yang skema seja...

Kali ni yang skema seja...
Bosan dengan yang teda2...
Itu pun kamu nak baca?
Tentu tidak..haha...
Jadi jangan baca...lala...
Bye..bye..

Saturday, March 5, 2011

Latar Belakang Etnik Brunei


Etnik Brunei adalah salah satu kaum minoriti di Sabah. Suku kaum ini banyak terdapat di Wilayah Persekutuan Labuan, Membakut, Beaufort, Negara Brunei Darussalam dan terdapat juga di Lawas dan Limbang Sarawak. Asal usul etnik ini di Sabah sangat berkait rapat dengan sejarah Kesultanan Brunei. Suatu masa dahulu, sebelum kedatangan penjajah British di Sabah, Sabah merupakan salah satu jajahan takluk Kesultanan Brunei. Oleh sebab itulah terdapatnya etnik Brunei di Sabah. Sabah mula terpisah Kesultanan Brunei pada 11 Ogos 1865 apabila konsul Amerika, Charles I. Moses menubuhkan ‘American Trading Company’ di Ellena (Kimanis), Sabah. Ini diikuti lagi dengan penjajahan British, Jepun, British Colony dan akhirnya sehinggalah penyertaan Sabah dalam membentuk Malaysia pada tahun 1963.
Masyarakat Brunei merupakan antara kaum minoriti di Sabah. Hal ini kerana etnik ini hanya tertumpu di beberapa bahagian kecil di Sabah dan jumlahnya juga tidaklah ramai. Walaubagaimanapun, dalam kalangan kaum minoriti di Sabah, etnik Brunei merupakan kelompok teramai. Mengikut bancian pada tahun 1991, terdapat kira- kira 123,810 orang Brunei di Sabah. Jumlah ini merupakan 6.64% daripada jumlah keseluruhan penduduk di Sabah.
Seperti mana etnik Bisaya, etnik Brunei juga mempunyai sejarah yang tersendiri mengenai asal usul nama ‘Brunei’. Berdasarkan catatan tradisi lisan yang diperoleh daripada Syair Awang Semaun, perkataan ‘Brunei’ berasal daripada perkataan ‘baru nah’. Mengikut ceritanya, rombongan klan atau Sakai yang dipimpin Pateh Berbai pergi ke Sungai Brunei untuk mencari tempat mendirikan negeri baru. Setelah mendapati kawasan itu berkedudukan strategik (diapit oleh bukit, air, mudah untuk dikenali, memudahkan pengangkutan, dan kaya ikan), maka mereka pun mengucapkan perkataan ‘baru nah’ yang bererti tempat itu sangat baik dan berkenan di hati mereka. Perkataan ‘baru nah’ itu lama kelamaannya berubah menjadi Brunei.
Masyarakat Brunei masa kini juga amat sinonim dengan agama Islam. Akan tetapi, sebelum mereka menerima agama Islam, mereka dipercayai menganut agama Hindi-Buddha. Hal ini dibuktikan dengan penemuan replika stupa di Pusat Sejarah Brunei. Selepas kedatangan agama Islam di Borneo, masyarakat Brunei mula menerimanya sebagai agama baru mereka.

Latar Belakang Etnik Bisaya

Etnik Bisaya adalah salah satu etnik pribumi di Kepulauan Borneo. Etnik Bisaya biasanya tertumpu di sekitar daerah Beaufort, Sungai Padas, Sungai Klias di Sabah dan Sungai Limbang di timur Sarawak. Mengikut  banci penduduk yang telah dibuat pada tahun 1991 yang lalu, jumlah penduduk Bisaya di seluruh Negeri Sabah ialah seramai 30,000 orang. Suku kaum ini dikatakan mempunyai kaitan dengan suku kaum Visaya di Filipina. Walaubagaimanapun menurut kajian, suku kaum ini hanya terdapat di Borneo sahaja.  Visaya yang terdapat di Filipina langsung tidak mempunyai perkaitan rapat dengan Bisaya di Borneo. Berdasarkan kajian bahasa dan budaya, etnik Bisaya ini berasal daripada kelompok etnik Dusun yang merupakan penduduk terawal di Sabah.  

            Bagaimanakah wujudnya perkataan ‘Bisaya’? Asal usul perkataan ‘Bisaya’ tidak dapat dipastikan dengan jelas. Walaubagaimanapum, terdapat pelbagai teori yang menyatakan tentang kewujudan perkataan ini. Dr. Otley Beyer pada tahun 1926 berpendapat bahawa perkataan ‘Bisaya’ berasal daripada perkataan ‘Sri Vijaya’ yang merupakan salah satu empayar yang hebat pada ketika itu. Derek Headly (1950) pula menyatakan legenda asal usul perkataan ‘Bisaya’ berasal daripada perkataan ‘bisai-yah’. Menurutnya, perkataan ini diucapkan oleh Sultan Brunei yang pada ketika itu mengunjungi tempat tinggal orang Bisaya. Baginda merasakan bahawa tempat itu sungguh cantik lalu timbullah perkataan itu.

Kebanyakan daripada kaum Bisaya bekerja sebagai petani, penternak dan nelayan. Kaum Bisaya juga mahir dalam seni kraftangan. Namun kini,faktor sosioekonomi yang lebih baik, menyebabkan ada di antara mereka yang memegang jawatan dalam kerajaan, berniaga, dan bergiat dalam kegiatan ekonomi yang lebih komersial.
Pada masa lampau, etnik Bisaya mengamalkan kepercayaan animisme. Akan tetapi apabila Islam datang ke kepulauan Borneo, etnik ini mula menerima agama Islam. Bisaya dikatakan di antara etnik yang pertama menerima Islam pada awal kurun ke-13. Mereka menerima pengaruh agama Islam daripada Kesultanan Brunei yang menguasai kawasan persisiran pantai barat Sabah ketika itu. Rentetan daripada penerimaan agama Islam dalam masyarakat Bisaya, budaya etnik ini sedikit sebanyak yang dipengaruhi oleh agama Islam terutamanya dalam adat istiadat perkahwinan. Namun begitu, masyarakat Bisaya di negeri Sabah berbeza dengan masyarakat Bisaya yang menetap di daerah Limbang, Sarawak. Ini kerana kaum Bisaya di Sabah beragama Islam manakala kaum Bisaya di Sarawak pula sebaliknya.
Pertalian antara etnik Bisaya dan Kesultanan Brunei dikatakan rapat pada zaman lampau. Sultan Brunei yang pertama adalah seorang yang berbangsa Bisaya iaitu Awang Alak Betatar. Awang Alak Betatar ini kemudiannya memeluk agama Islam lalu bergelar Sultan Muhammad Shah.