Friday, November 12, 2010

Mati

Tiba- tiba ingat arwah bapa. Sedih. Saya teringat ketika hari Rabu itu 30/01/2008. Saya seperti tidak dapat menerima kenyataan yang orang dekat dengan saya tiba- tiba tiada. Bukan merantau ke mana, tapi merantau selama- lamanya dan takkan kembali lagi. Buat pertama kalinya saya rasa kosong dan seperti ingin mati. Saya tak makan biarpun saya lapar dan tak minum walaupun haus. Buat pertama kalinya saya melihat abang saya yang bagi saya sangat garang menangis sampai tak mampu untuk turut serta memandikan jenazah kerana tidak mampu menahan air mata. Apa saja barang tinggalan bapa buat saya teringat dia dan menangis. Seminggu baru saya dapat menerima kehilangan dia.
Tiba- tiba saya teringat peristiwa- peristiwa sebelum dia meninggal iaitu ketika kira- kira sebulan lebih sebelum dia meninggal. Tiada siapa dapat meneka yang dia akan meninggal tidak lama selepas itu. Tiada petanda. Saya hanya sempat berjumpa dengannya 10 hari sebelum dia pergi. Itulah kali pertama saya lihat dia sungguh lemah sampai tidak mampu untuk berdiri. Saya positifkan diri bahawa sakitnya pasti sembuh. Tapi, mungkin sudah takdir dia pergi juga.
Bagaimana pula jika saya yang pergi? Seperti mana bapa saya pergi tanpa petanda awal, semuanya mungkin terjadi. Jika saya pergi tanpa bekalan yang cukup, saya pasti menyesal kerana tidak menggunakan masa yang saya ada di dunia untuk melakukan amal kebajikan. Saya pasti menyesal kerana apabila mati, maknanya saya tidak punya peluang lagi untuk menebus segalanya.
Ingat mati itu baik. Ia buat kita sedar bahawa dunia ini hanya sementara. Ia akan buat kita rasa apa saja di dunia ini sebenarnya tidak guna. Kecantikan, harta, pangkat semuanya tidak berguna. Bermusuh juga tidak berguna. Tiada guna juga untuk kita asyik mengata orang. Biarpun kita kerap kali cakap kita tidak benci, namun mengata itu juga adalah satu dosa. Kalau yang kita katakan itu dikongsi pula dengan orang lain, maka jadilah mengumpat. Apa saja yang kita katakan dengan orang lain tentang orang lain yang mana kata- kata itu jika didengari oleh orang yang empunya badan dan dia tidak akan suka dengannya ditakrifkan sebagai mengumpat. Hatta sekalipun kita tidak menyebut nama orang yang diumpat itu, tapi jika orang yang dengan kita bercerita itu tahu siapa orang yang dimaksudkan maka itu juga satu umpatan. Dosa mengumpat pula hanya boleh diampunkan oleh orang yang diumpat itu. Tambahan pula, walau sebanyak mana pahala yang diterima oleh si pengumpat dek kerna amalannya, pasti akan dipindahkan kepada orang yang diumpat itu. Pengumpat sebenarnya orang yang paling kesian sekali. Kerana apa? Kerana sudahlah dia hilang pahala, mendapat ampunan pun susah kerana bukan Allah yang dapat mengampunkannya tapi orang diumpat itu sahaja.
Oleh itu, marilah sama- sama kita menjauhkan diri daripada amalan mengumpat. Walaupun bukan secara lisan, memberi komen di FB, Twitter, YM dan sebagainya itu juga boleh jadi mengumpat jika konsepnya sama. Takut- takut daripada mengumpat menjadi pula fitnah. Ini bukan ditujukan buat siapa- siapa kerana saya juga pernah mengumpat dan saya juga belajar untuk menjauhkan diri daripada amalan ini. Buat sesiapa yang mengenali saya mahupun tidak mengenali saya yang mungkin saya pernah mengumpat dia, saya mohon agar dosa saya diampunkan.
Sekian, banyak- banyakkanlah mengingat mati dan buanglah jauh- jauh tabiat mengumpat.

No comments:

Post a Comment