Hantar kerja mesti berjemaah. Siapa tak berjemaah itu namanya pentingkan diri sendiri. Kalau seorang gagal, kalau boleh semua pun mesti gagal. Kalau satu orang lambat hantar tugasan, semua pun mesti kena hantar lambat. Jadi kita semua kena ikut siapa yang lambat, siapa yang gagal dan itu ertinya kita tak pentingkan diri. Begitu?
Apa kata kita ubah sikit benda ni. Hantar kerja mesti berjemaah. Kalau satu orang hantar pada masanya, biarlah semua pun hantar pada masanya. Kalau seorang lulus, biarlah semua lulus. Mahukah kita menjadi punca orang lain kena marah sedangkan dia tidak sepatutnya kena marah. Kalau tidak sengaja, tidak apa. Tapi kalau kerana sikap kita yang malas dan sambil lewa, orang lain pun terlibat sama, itu namanya pentingkan diri. Bukan sahaja orang sentiasa mahu mendahului itu yang pentingkan diri, tapi orang yang sengaja mahu terbelakang tetapi mahu semua orang ikut dia itu juga pentingkan diri. Dia fikirkan kepentingan dia, tanpa memikirkan kepentingan orang lain. Mungkin baginya tidur itu penting, pergi ke sana ke mari itu penting. Tapi mungkin bagi orang lain tidak. Belajarlah memikirkan tentang orang lain. Orang lain bertungkus lumus bekerja, tetapi akhirnya kena marah kerana kita. Kita masih boleh bersama- sama tetapi ke arah kemajuan, bukan ke arah kemunduran.
Saya menghubungkan konsep ini dalam situasi lain. Bayangkan dalam satu keluarga, seorang adik hidup miskin kerana dia malas bekerja. Adik- beradik lain pula hidup senang kerana mereka rajin bekerja. Adakah untuk tidak mementingkan diri, adik- beradik lain itu juga perlu hidup miskin? Mungkin bagi si adik, adik- beradiknya lain semua pentingkan diri dan meninggalkan dia hidup miskin. Seharusnya dia sedar, bahawa punca kemiskinannya itu kerana sifat malasnya. Adik- beradik lain boleh membantu, tapi kalau dia dia sendiri tidak mahu berubah, dia tidak akan dapat berubah. Apa kata, dia juga mengikut jejak langkah adik- beradik yang lain? Tentu dia tidak ketinggalan.
Kalaulah kita semua ingin bersama- sama dalam kemunduran, Malaysia tidak akan jadi seperti sekarang. Kalaulah kita mengamalkan sistem komunis di mana semua rakyat mempunyai taraf ekonomi yang sama, tiada yang kaya dan tiada yang miskin, maka kita tidak akan hidup seperti sekarang. Malaysia tidak akan menjadi lubuk duit tempat orang- orang asing mencari rezeki. Kebanyakan negara yang maju mengamalkan sistem ekonomi kapitalis iaitu siapa kuat berusaha dia kaya, siapa yang malas berusaha dia akan ketinggalan.
Dalam Islam, kita digalakkan untuk rajin berusaha. Lebih ramai orang kaya lebih bagus kerana orang kaya inilah yang berfungsi untuk membantu orang- orang miskin. Tangan yang memberi itu bukankah lebih baik daripada tangan yang menerima? Bayangkan kalau semua pun miskin, siapa lagi yang mahu membantu orang miskin? Kalau kita amalkan konsep berjemaah untuk kemajuan dan bukan kemunduran, maka kita semua akan sama- sama berjaya. Konsep inilah yang sepatutnya diamalkan di negara- negara Islam supaya orang- orang Islam tidak mudah ditindas oleh kuasa- kuasa besar yang bencikan Islam. Jangan sentiasa mahu ditunggu oleh orang lain, kejarlah orang lain dan sama- sama merasai nikmat kejayaan itu. Memang adakalanya kita perlu ditunggu, tetapi jangan menjadikannya amalan yang selalu.
Tulisan ini bukan ditujukan untuk siapa- siapa, tetapi cuma buah fikiran saya yakni pendapat saya. Kakak saya pernah kata tiada pendapat yang salah dan tiada siapa boleh cakap pendapat seseorang itu salah. Pendapat bukan fakta, cuma fikiran seseorang. Ini adalah fikiran saya dan jika ada yang tidak bersetuju, ianya terpulang kepada individu itu. Tulisan ini adalah untuk difikirkan, bukan untuk digaduhkan. Sekian, PEACE NO WAR.
No comments:
Post a Comment