Kemalangan memang bukan disengajakan dan tiada siapa mahu terlibat dalam kemalangan. Kemalangan tidak dirancang dan lebih sedih jika kemalangan itu meragut jiwa atau menyebabkan kecederaan parah. Kemalangan boleh menjadi mimpi buruk. Tanyalah kepada sesiapa yang pernah terlibat dengan kemalangan, pasti mereka mengungkapkannya dengan rupa yang demikian.
Walaubagaimana sekalipun kita mencuba untuk tidak terlibat dalam kemalangan, kalau sudah itu ketentuan Tuhan, maka tiada siapa boleh menghalangnya. Walaubagaimanapun, kita masih boleh berusaha untuk mengelaknya. Namun, jika anda telah terlibat dalam kemalangan dan cedera teruk, maka janganlah tambahkan kecederaan itu dengan penderitaan jiwa. Jika anda kehilangan kaki misalnya, ia bukan satu pengakhiran hidup. Jangan cuba untuk mengulang tragedi sama. Ambil pengajaran dan majulah ke hadapan.
Pengalaman kemalangan bukanlah sesuatu yang mudah dilupakan. Ia mungkin meningalkan parut yang dalam bukan sahaja secara luaran malah juga dalaman. Parut yang paling dalam sudah tentu di hati dan minda kita. Ia boleh meninggalkan trauma dan kesakitan yang berpanjangan. Oleh itu, walau sebesar mana parut itu, hadapilah kenyataan, redha dan janganlah sengaja mencari sesuatu yang mengembalikan kenangan itu. Binalah hidup baru selagi kemalangan itu tidak meragut nyawa anda.
No comments:
Post a Comment