Monday, July 4, 2011

Flaming Brothers

Flaming Brothers. Satu drama bersiri Hong Kong yang saya tonton sewaktu sekolah rendah lagi. Tapi lupa dah tahun berapa. Sampai sekarang saya masih ingat watak utamanya, Meng Chi Kit dan Lee Siew Tin.
Meng Chi Kit dan Lee Siew Tin ini sebenarnya adalah adik beradik kandung tetapi terpisah oleh desakan kemiskinan. Bapa mereka telah meninggal dunia. Lee  SiewTin adalah si abang yang diserahkan oleh ibu mereka kepada keluarga kaya di Hong Kong akibat kemiskinan yang melampau. Meng Chi Kit pula hidup bersama ibunya di China (ketika itu Hong Kong belum masuk China). Meng Chi Kit hidup susah, Lee Siew Tin pula hidup senang tanpa mengetahui siapa sebenarnya ibunya. Beberapa tahun kemudian, semasa Meng Chi Kit masih berumur lingkungan 10 tahun, ibunya pergi ke Hong Kong untuk bertemu dengan Lee  Siew Tin. Ibunya sangat rindukan anaknya itu. Oleh kerana tidak ingin berpisah dengan Lee Siew Tin, si ibu rela menjadi orang gaji di rumah keluarga angkat anaknya dan menetap di Hong Kong. Tinggallah Meng Chi Kit di China hidup seorang diri. Walaubagaimanapun, si ibu masih berhubung dengan anaknya ini dan masih membekalkan wang belanja.

Apabila Meng Chi Kit sudah dewasa dan kebetulan Hong Kong telah masuk China, dia dijemput ke Hong Kong oleh ibunya. Dia tahu Lee Siew Tin adalah abangnya, namun Lee Siu Tin pula sebaliknnya. Karakter mereka sangat jauh berbeza. Lee Siew Tin, anak orang kaya yang sombong dan angkuh. Meng Chi Kit pula adalah pemuda yang merendah diri dan berbudi bahasa. Pada mulanya Meng Chi Kit menjadi pekerja bawahan di syarikat milik Lee Siew Tin. Di sana dia selalu dihina oleh pekerja- pekerja di situ sebagai orang Tanah Besar China yang bertaraf rendah.

Dijadikan cerita, Lee Siew Tin mempunyai seorang teman wanita. Teman wanitanya ini walaubagaimanapun tidak begitu senang dengan sikap Lee Siew Tin yang angkuh dan playboy. Hubungan mereka kerap kali bermasalah.  Namun sebenarnya Lee Siew Tin sangat mencintainya dan akhirnya mereka berkahwin. Kebetulan, Meng Chi Kit juga menaruh hati dengan wanita ini. Apabila Lee Siew Tin berkahwin dengan wanita idamannya, Meng Chi Kit mula merasakan kesabarannya berada di kemuncak. Dia mula berfikir semula tentang semua ketidakadilan dalam hidupnya iaitu sejak dia ditinggalkan oleh ibunya semata- mata ingin menjaga abangnya di Hong Kong. Oleh kerana terlalu marah, dia akhirnya bertindak membakar rumah abangnya untuk membunuh abangnya. Namun yang terbunuh adalah wanita yang dicintainya yang pada ketika itu mengandung anak abangnya. Lee Siew Tin seperti tidak dapat menerima kenyataan. Hidupnya tidak terurus dan akhirnya syarikatnya lingkup. Siapa yang melingkupkan syarikatnya? Musuh utama perniagaannya yang dibantu oleh adiknya sendiri iaitu Meng Chi Kit. Meng Chi Kit yang dulunya merupakan seorang pemuda yang baik akhirnya berubah karakter menjadi seorang yang sangat jahat dan bermuslihat. Dia ingin membalas dendam kepada orang- orang yang pernah menghinanya. Dia berkahwin dengan anak musuh ketat abangnya semata- mata untuk membolot kekayaan dan menumpaskan syarikat abangnya. Dia berusaha untuk memusnahkan abangnya sendiri. Dia juga akhirnya membunuh isterinya sendiri. Dia membiarkan saja ibunya yang menanggung tuduhan membunuh isterinya itu. Dia tidak mempunyai belas kasihan lagi kepada ibunya kerana dia menyalahkan ibunya yang dianggapnya lebih menyayangi abangnya berbanding dirinya.  Akhirnya si ibu membunuh diri di penjara kerana menyalahkan dirinya meninggalkan Meng Chi Kit di China suatu masa dahulu sehingga dia berubah sedemikian rupa. 

Lee Siew Tin pula melalui satu fasa yang penuh penderitaan. Meng Chi Kit berusaha untuk menghapuskannya namun atas bantuan orangnya yang paling setia, dia selamat. Dia bertemu dengan pelbagai orang dan merasai bagaimana hidup dalam kemiskinan. Barulah dia sedar tentang keburukan sikapnya selama ini. Dengan bantuan sahabatnya itu, dia bangkit semula dan menubuhkan syarikat baru. Syarikat Lee Siew Tin berjaya menumpaskan syarikat Meng Chi Kit sedikit demi sedikit. Pada ketika ini Lee Siew Tin sudah insaf dan bersedia untuk menerima Meng Chi Kit sebagai adiknya. Namun Meng Chi Kit tetap enggan menerima abangnya itu. Dalam peristiwa pergelutan untuk membunuh Lee Siew Tin, Meng Chi Kit akhirnya terbunuh. Tetapi dia sempat juga memanggil Lee Siew Tin sebagai abang.

Kisah ini sebenarnya membuka minda kita bahawa seseorang yang baik, mungkin boleh berubah menjadi tidak baik manakala orang yang tidak baik boleh berubah menjadi baik. Dalam cerita ini, watak yang begitu kesian ialah Meng Chi Kit. Dia tertekan dengan apa yang berlaku di sekitarnya. Dia ditekan oleh orang- orang di sekelilingnya. Bayangkan budak yang baru berumur sekitar 10 tahun terpaksa hidup seorang diri tanpa jagaan sesiapa. Sampai sahaja di Hong Kong dia terus- terusan dihina. Kehidupannya sepertinya tidak seindah abangnya. Tekanan inilah yang mengubahnya menjadi pendendam dan seorang yang kejam. Walaubagaimanapun, saya tetap percaya hidup ini adalah pilihan. Dari satu segi, saya sokong tindakan Meng Chi Kit membalas dendam kepada orang- orang yang pernah menghinanya. Namun, dari satu segi lagi, apabila berbalik kepada agama yang melarang perbuatan membalas dendam, saya fikir biarlah Tuhan saja yang membalasnya. Mudah- mudahan saja kita tidak menjadi seperti Meng Chi Kit dan mudah- mudahan juga kita tidak menjadi seperti orang- orang yang menyebabkan Meng Chi Kit berubah daripada baik kepada tidak baik.

1 comment: